Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Selasa, 28 Januari 2014

Analisis PRK DUN Kajang: Dari Perspektif Seorang Mahasiswa


Ramai orang terkejut mendengar perletakkan jawatan Lee Chin Cheh sebagai ADUN Kajang pada 27 Januri 2014. Perletakkan jawatan tersebut memberi laluan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Kajang dan ianya merupakan PRK yang ketiga selepas PRK DUN Kuala Besut di Terengganu dan PRK DUN Sungai Limau di Kedah. Kali ini, PRK akan diadakan di negeri Selangor. Ini juga merupakan PRK pertama di Selangor selepas PRK Parlimen Hulu Selangor sebelum Pilihan Raya UMUM (PRU) 2013 yang lalu.

DUN Kajang mempunyai jumlah pengundi seramai 39,030 pada PRU13 iaitu peningkatan sebanyak 9,162 pengundi atau 30.67 peratus berbanding PRU12 iaitu seramai 29,868 pengundi. Jika mengikut pecahan kaum, DUN Kajang mempunyai 48.48 peratus pengundi Melayu, 40.46 peratus pengundi Cina, 10.15 peratus pengundi India dan 0.91 pengundi pengundi lain-lain kaum pada PRU13 manakala pada PRU12, terdapat sebanyak 46.60 peratus pengundi Melayu, 44.10 peratus pengundi Cina, 8.70 peratus pengundi India dan 0.60 peratus pengundi lain-lain kaum. Hal ini bermakna, pengundi Melayu dan India menyaksikan peningkatan jumlah pengundi masing-masing sebanyak 1.88 peratus dan 1.45 peratus. Pengundi Cina mengalami sedikit penurunan sebanyak 3.64 peratus jumlah pengundi. Mari kita analisis pola pengundian DUN Kajang pada PRU12 dan PRU13.

Pada PRU 2013, kerusi DUN Kajang menyaksikan perlawanan 6 penjuru antara Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional (BN), Parti BERJASA, dan tiga Bebas.  PR meletakkan Lee Chin Cheh dari PKR yang merupakan bekas pemimpin Parti GERAKAN di Selangor, BN meletakkan Lee Ban Sang dari MCA, Parti BERJASA meletakkan Mohamad Ismail, dan tiga orang lagi merupakan calon bebas iaitu Mohd Khalid Kassim, Ong Yan Foo dan Mohd Iwan Jefrey Abdul Majib. Calon PKR, Lee Chin Cheh, berjaya memperolehi 19,571 undi manakala pencabar terdekat beliau dari MCA, Lee Ban Sang, pula berjaya memperolehi 12,747 undi. Calon BERJASA, Mohamad Ismail, hanya memperolehi 1,014 undi manakala calon bebas Mohd Khalid, Ong Yan Foo dan Mohd Iwan masing-masing memperolehi 83 undi, 85 undi, dan 249 undi. Undi rosak pula sebanyak 541 menjadikan jumlah keseluruhan keluar mengundi sebanyak 34,290 atau 87.86 peratus. Lee Chin Cheh berjaya mengekalkan kemenangan PKR di DUN Kajang dengan majoriti sebanyak 6,824 undi.

Pada PRU 2008, kerusi DUN Kajang menyaksikan perlawanan 2 penjuru antara PR dan BN. PR meletakkan Lee Kim Sin dari PKR manakala BN meletakkan Datin Paduka Low Lee Seng dari MCA. Lee Kim Sin yang mencuba nasib beliau buat kali kedua ini (selepas PRU11) memperolehi undi sebanyak 13,220 manakala penyandang kerusi tersebut, Low Lee Seng, memperolehi undi sebanyak 9,952. Undi rosak pula sebanyak 560 menjadikan jumlah keseluruhan keluar mengundi sebanyak 23,732 atau 79.46 peratus. Lee berjaya menawan kerusi tersebut menerusi tiket PKR dengan majoriti sebanyak 3,268 undi.

Dari segi analisis undi, pada PRU13, PKR dan MCA masing-masing berjaya menambah jumlah undi sebanyak 6,351 atau 48.04 peratus dan 2,795 atau 28.08 peratus. Walaupun kedua-dua parti ini memperolehi peningkatan undi dari segi jumlah dan peratusan, MCA gagal merampas kerusi DUN Kajang dari PKR kerana jumlah peningkatan undi parti tersebut terlalu sedikit berbanding dengan PKR.  Bilangan keluar mengundi pula meningkat sebanyak 10,558 orang atau 44.49 peratus. Hal ini bermaksud PRU13 di DUN Kajang lebih hangat berbanding PRU12.

Perletakkan jawatan Lee Chin Cheh telah menimbul banyak spekulasi dari dalam dan luar parti bahawa tindakan beliau mengosongan kerusi tersebut adalah untuk memberi laluan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk bertanding untuk mengantikan jawatan Mentri Besar dari Tan Sri Khali Ibrahim. Lee Chin Cheh bertindak sedemikian ekoran terdapat kontoversi yang melanda pentadbiran PR di Selangor antaranya kenaikkan gaji ADUN dan Speaker DUN, pelan penstrukturan air dan kemuncaknya Azmin Ali digurgurkan dari Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Di kalangan polikus dan penganalisis politik, terdapat beberapa sebab Azmin Ali disingkirkan dari PKNS.

Pertama: Saranan penyokong Azmin agar beliau menjadi Mentri Besar selepas PR berjaya mengekalkan kuasa di Selangor pada PRU13 lepas

Kedua: Mengurangkan pengaruh Azmin dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid

Ketiga: Kelantangan penyokong Azmin yang dilihat semakin vokal mengkritik pentadbiran Tan Sri Khalid

Keempat: Mempopularkan Tan Sri Khalid agar beliau dilihat sebagai alternatif kuat mencabar Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang akan diadakan pada bulan April ini.

Atas desakan penyokong Tan Sri Khalid dan Azmin ini, maka, terdapat satu cadangan agar DSAI dilantik sebagai Mentri Besar untuk mendamaikan kedua-dua pihak dan ini bermakna seorang ADUN harus berkorban untuk merealisasikan usaha ini. Lee Chin Cheh adalah orangnya dan beliau secara rela hati melepaskan kerusi tersebut agar DSAI dapat dicalonkan demi kesejahteraan pentadbiran PR di Selangor.



Pelawanan bakal bermula di DUN Kajang tidak lama lagi. Memandangkan kerusi tersebut telah dimenangi ole PR sebanyak dua kali, maka, calon yang akan bertanding di kerusi tersbut haruslah datang dari PKR. Pada 28 Januari 2013, PKR telah menamakan DSAI akan dicalonkan di DUN Kajang dan ini telah menguatkan lagi sepekulasi bahawa beliau akan menjadi Mentri Besar Selangor jika PKR berjaya mempertahankan kerusi DUN Kajang. Satu perkara masing belum terjawab, siapa pula calon BN di DUN Kajang? Adakah mereka akan mencalonkan semula Lee Ban Sang atau terdapat calon muka baru samada dari MCA ataupun UMNO? Mungkinkah UMNO akan mencalonkan Datuk Noh Omar, Ahli Parlimen Tanjong Karang memandangkan beliau sekarang bukan lagi seorang Menteri Perseketuan? Walaubagaimanapun, saya percaya pihak BN akan meletakkan calon yang tidak begitu kuat di DUN Kajang memandangkan lawan mereka bukan calang-calang orang. Sukar untuk BN menawan DUN Kajang dari PKR kerana DSAI mempunyai penyokong yang banyak di seluruh Malaysia iaitu 50.87 peratus. Mungkin terdapat sedikit penurunan undi untuk PKR kali ini kerana seperti biasa, apabila terdapat PRK, seluruh jenteran BN akan tertumpu di kawasan tersebut dan kita akan mendengar pelbagai janji-janji manis yang akan ditaburkan oleh BN. Namun saya percaya, tidak mustahil undi PKR akan melonjak naik biarpun PRK kerana sentimen anti-kerajaan sekarang semakin kuat kesan daripada polisi BN yang menaikkan harga barang, isu Kalimah Allah dan isu kangkung. Semestinya, BN juga akan memainkan isu Penceraian Nurul Izzah dan isu Jepun terhadap PKR kerana umum mengetahui, BN lebin gemar memainkan isu peribadi berbanding isu ekonomi, sosial dan politik yang diperjuangkan oleh PR.

Pakatan Rakyat terutamanya dari Sabah dan Sarawak harus bersedia untuk membantu DSAI kerana kemenangan dan kekalahan beliau akan memberi kesan kepada kita pada PRN Sarawak nanti. PR Sabah dan Sarawak harus membuktikan kesungguhan untuk menjadikan DSAI Perdana Menteri Malaysia pada PRU14. PR Semananjung juga perlu mengunakan khidmat dari Sabah dan Sarawak untuk menunjukkan solidariti memperjuang hak rakyat Malaysia. PR Semenanjung dan PR Sabah dan Sarawak saling memerlukan antara satu sama lain. Kesimpulan awal awal, peluang untuk BN menawan kerusi DUN Kajang adalah tipis dan PKR akan mengekalkan kerusi ini.

Sama-sama kita saksikan perlawanan ini.

Pstttt ==> Baru faham apa maksud tweet ni



Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts

Arkib Blog