Assalamualaikum & Salam sejahtera...
Hari ini genaplah 17 Tahun kejadian yang menyayat hati dimana berlaku suatu tragedi sebuah pesawat FOKKER 50 milik Syarikat Penerbangan MAS yang berlaku di Lapangan Terbang Tawau...
15 SEPTEMBER 1995......
Hari ini genaplah 17 Tahun kejadian yang menyayat hati dimana berlaku suatu tragedi sebuah pesawat FOKKER 50 milik Syarikat Penerbangan MAS yang berlaku di Lapangan Terbang Tawau...
15 SEPTEMBER 1995......
Suasana
di Lapangan Terbang Tawau, Sabah kecoh pada tengah hari Jumaat, 15 September
1995. Orang ramai yang berada di dalam dan sekitar lapangan terbang itu
tergamam, lebih-lebih penduduk perkampungan setinggan di tepi kawasan itu.
Ketika
jam menunjukkan jam 12.55 tengah hari, satu tragedi dahsyat berlaku di kawasan
berkenaan. Pesawat Fokker 50 Penerbangan Malaysia (MAS) yang baru mendarat di
lapangan terbang itu, terbabas arah sehingga merempuh kira-kira 20 rumah
setinggan di Kampung Seri Menanti yang terletak di hujung landasan.
Kejadian
cemas itu menyebabkan penumpang menjerit panik di dalam pesawat. Mereka
menyedari ada sesuatu yang tidak kena terhadap kapal terbang berkenaan.
Bagaimanapun,
jeritan itu tidak lama apabila kira-kira 10 minit kemudian, satu letupan kuat
kedengaran sehingga menggemparkan penduduk sekitar yang pastinya sama sekali
tidak menyangka kemalangan seumpama itu berlaku pada hari berkenaan.
Selepas
itu, penduduk yang masih terkejut menyaksikan tragedi itu melihat api mula
menjulang di sebelah kanan pesawat. Kekhuatiran mula meresap pada minda tatkala
memikirkan kebakaran akan menyambar penumpang di dalam pesawat.
Beberapa
penduduk yang khuatir ketupan dan kebakaran akan merebak, bertempiaran lari
menyelamatkan diri dalam suasana kecoh. Jeritan penduduk meningkah bunyi
letupan yang menggegarkan kawasan sekitar.
Dalam
usaha itulah, sebaik keluar dari rumah masing-masing, letupan menyebabkan
serpihan kayu dan pelbagai objek lain melayang ke merata arah sehingga
mencederakan penduduk. Bahang api turut menyambar jasad sehingga menyebabkan
tubuh melecur.
Pada
pukul 1.06 minit petang, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu.
Bersama tiga jentera dan 26 anggota, mereka bergegas ke tempat kejadian dan
tiba di lokasi kemalangan empat minit kemudian.
Dibantu
empat jentera bomba lapangan terbang, usaha memadamkan api yang semakin marak
membaluti pesawat selain gerakan menyelamatkan mangsa segera dilakukan.
Mayat
pertama dikeluarkan daripada bangkai pesawat pada jam 2.50 petang. Rempuhan
pesawat terhadap 20 rumah setinggan menyebabkan sekurang-kurangnya 10 penduduk
kampung itu cedera dan dikejarkan ke Hospital Tawau.
Pesawat
yang terhempas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
kira-kira jam 11.50 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Tawau pada
jam 12.45 tengah hari.
Fokker
50 mendarat di landasan 35 Lapangan Terbang Tawau dan terbabas kira-kira 500
meter sebelum merempuh kawasan setinggan.
Selepas
empat jam berusaha, barulah bomba dapat mengawal api dan kebakaran pesawat itu
padam sepenuhnya jam 5.30 petang. Pasukan penyelamat dan orang ramai segera
memenuhi kawasan kemalangan bagi memulakan gerakan mencari dan menyelamat
mangsa.
Operasi
merekodkan seramai 34 daripada 53 orang yang berada di dalam kapal terbang
berkenaan hangus manakala seorang penumpang masih belum ditemui.
Bagaimanapun,
18 orang yang sempat bergegas keluar menerusi pintu kecemasan sebaik pesawat
berhenti bergerak, terselamat.
Penumpang
yang terselamat menceritakan yang mereka mula menyedari kemalangan akan berlaku
beberapa saat selepas pesawat mencecah bahagian tengah landasan.
Ini
disebabkan sebaik mendarat, pesawat terus terbabas dan meluncur melampau jarak
pendaratan kerana landasan pendek. Bahagian depan kapal terbang itu melampung
beberapa kali ketika juruterbang dipercayai cuba menghentikannya.
Bagaimanapun,
pesawat terus meluncur sehingga ke pagar kawasan landasan sebelum merempuh
rumah setinggan di kampung berkenaan.
Sebaik
pesawat berhenti bergerak, mereka melihat api muncul di bahagian depan dan
sebelah kanan pesawat sehingga ramai penumpang mulai panik, menjerit dan
menangis.
Beberapa
penumpang yang berada di barisan belakang dan berhampiran pintu kecemasan
segera membuka pintu itu dan bergegas keluar daripada pesawat kerana khuatir
keadaan lebih bahaya akan berlaku.
Kira-kira
10 minit selepas mereka keluar, pesawat itu meletup.
FAKTA: Urutan Peristiwa- Berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 11.50 pagi- Pesawat bergegar, bahagian depannya melambung beberapa kali ketika mencecah landasan Lapangan Terbang Tawau kira-kira jam 12.55 tengah hari.- Pesawat terbabas dan melanggar pagar sebelum merempuh rumah setinggan.- Letupan diikuti kebakaran.
Penerbangan
tidak ikut prosedur ditetapkan
Sehingga
17 September 1995, pihak penyelamat masih bingung memikirkan misteri kehilangan
seorang lagi mangsa tragedi letupan pesawat Fokker 50 Penerbangan Malaysia (MAS)
di Kampung Seri Menanti yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Tawau.
Rekod
operasi yang mereka jalankan mendapati 34 penumpang rentung manakala 18 lagi
berjaya menyelamatkan diri sebelum pesawat itu meletup dan terbakar; tetapi di
mana seorang lagi?
Pada
pagi 16 September 1995, berita tragedi kemalangan kapal terbang itu mula
memenuhi dada akhbar selain dilaporkan menerusi televisyen dan radio.
“Seramai
34 korban Fokker terhempas”. Begitulah tajuk Berita harian yang melaporkan
tragedi berkenaan. Selain rentetan kejadian, pengakuan mangsa terselamat serta
saksi kejadian, turut dipaparkan dalam akhbar adalah nama mangsa termasuk
mereka yang terkorban.
Pagi
itu juga, seorang lelaki kelihatan mundar-mandir di kawasan hospital di daerah
itu. Kemudian lelaki itu berjumpa dengan pegawai bertugas dan mula memberitahu
– dia adalah antara mangsa nahas Fokker 50 yang terselamat.
Kenyataan
lelaki itu sekali gus menyelesaikan misteri dan kebingungan pihak berkuasa
berhubung kehilangan misteri seorang daripada mangsa pesawat berkenaan. Dengan
tampilnya lelaki itu, Haruni Ladai, ia mengesahkan hanya 34 penumpang saja
terkorban dalam tragedi itu.
Menceritakan
misteri kehilangannya, Haruni dilaporkan berkata, sebaik berjaya keluar
daripada pesawat yang terbabas, dia terus menahan teksi dan segera pulang ke
rumahnya di Kampung Tanjung Batu Darat, kira-kira lima kilometer dari lokasi
kejadian.
Beliau
terus balik kerana begitu terkejut dan ingin segera bersama keluarganya selepas
menganggap dirinya baru saja terlepas dari maut.
Dia
mula menyedari yang pihak berkuasa tercari-cari kehilangannya selepas mendapati
namanya disenaraikan sebagai penumpang yang terkorban. Dia kemudian tampil bagi
menyatakan dirinya terselamat dalam tragedi itu kepada pihak berkuasa.
Sementara
itu, gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang mungkin terselamat dalam nahas
pesawat Fokker 50 di perkampungan setinggan itu dihentikan tengah hari, sehari
selepas hari kejadian.
Pasukan
mencari dan menyelamat menghentikan gerakan 24 jam selepas mendapati tiada
mangsa terbaru ditemui di tempat kejadian.
Seterusnya
perhatian ditumpukan kepada usaha mengenalpasti identiti semua mangsa yang
hangus terkorban.
Sepasukan
ahli patologi, forensik dan pakar pergigian, tiba pada tengah hari, hari kedua
kejadian untuk membantu polis mengenal pasti mayat menerusi rekod pergigian dan
pelbagai tanda lain.
Bedah
siasat kemudian mendapati hampir semua mangsa yang dikenalpasti terbunuh akibat
terhidu asap tebal, gas combustion dan melecur serius. Semua yang terbunuh
adalah penumpang, juruterbang dan anak kapal.
Pagi
17 September, empat pakar daripada Fokker Aircraft Company, Belanda tiba untuk
membantu siasatan nahas pesawat Fokker 50 itu manakala kotak hitam pesawat itu
dihantar ke London untuk dianalisis.
Majlis
Perbandaran Tawau kemudian mengesahkan 53 rumah musnah dalam nahas itu
membabitkan 62 keluarga.
Akhirnya,
pada 20 Mei 1998, iaitu selepas hampir tiga tahun, hasil siasatan mengenai
punca tragedi kemalangan itu diumumkan kepada orang ramai.
Siasatan
mendapati nahas itu berpunca daripada kesilapan manusia manakala pesawat Fokker
50 dalam keadaan baik dan bukan antara penyebab nahas.
Sebaliknya,
kesilapan juruterbang dan kegagalan pembantunya memberi amaran selepas
menyedari penerbangan mereka tidak mengikut prosedur, dikenal pasti sebagai
punca utama nahas Fokker 50 MAS.
Takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.....
0 comments:
Catat Ulasan