Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Jumaat, 31 Januari 2014

Mencari penyelesaian isu penggunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Bible Bahasa Melayu

Mencari penyelesaian isu penggunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Bible Bahasa Melayu
Mencari penyelesaian isu penggunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Bible Bahasa Melayu

Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa agama Islam adalah agama rasmi bagi negara dan statusnya dilindungi oleh Perlembangaan Persekutuan, iaitu satu dokumen undang-undang yang tertinggi di Malaysia.

Memang tidak disebutkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber hukum tertinggi, namun acuannya mempunyai unsur-unsur keislaman dan negara Malaysia dibentuk dengan asas-asas kenegaraan Islam.

Yang di-Pertuan Agong juga diberi kuasa dan berperanan rasmi sebagai ketua agama Islam bagi Malaysia (walaupun undang-undang Islam negeri-negeri di Malaysia tertaluk kepada Sultan negeri tersebut).

Beberapa hari lepas, Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam telah bertitah bahawa kalimah ALLAH ini adalah hak eksklusif umat Islam di Malaysia dan pengunaannya dilarang dalam kalangan umat agama lain, khususnya di dalam kitab-kitab agama mereka.

Walaupun ada pihak yang menyatakan bahawa titah itu khas bagi Negeri Kedah (kerana baginda bertitah sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86), namun kesemua Sultan di setiap negeri-negeri di Malaysia mengambil pendirian yang sama.

Terus kepada isu yang ingin saya bawa mengenai pengunaan kalimah ALLAH di dalam kitab bible bahasa Melayu yang sedang hangat diperdebatkan. Isu penggunaan kalimah ALLAH ini sudah agak berpanjangan dan meleret tanpa ada satu keputusan yang konklusif bagi menyelesaikannya serta diterima baik oleh semua pihak yang terbabit.

Perselisihan agama ini perlu dikhatamkan segera oleh pihak yang berautoriti dan jangan dibiarkan konflik ini berpanjangan kerana akan membawa petaka buruk kepada negara yang kita sayangi ini kelak.

Ia juga berkemungkinan akan berlarutan kepada perang agama di Malaysia, jika pelampau-pelampau agama yang taksub membawa isu ini mengikut hawa nafsu yang tidak didorongi oleh akal yang waras.

Maka, saya akan cuba mengupas secara ringkas jalan bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah ALLAH ini dengan membincangkan pandangan para sarjana Islam tempatan dan prioriti memilih pandangan yang lebih lunak, serta persoalan keperluan sikap tegas dan keras dalam isu ini.

Juga akan saya cungkil sedikit dari sudut sejarah perjalanan sunnah kehidupan Rasulullah SAW., sebagai ketua agama Islam di Madinah, bagaimana interaksi kepimpinan baginda dalam mengurus agama kaum Kristian dan Yahudi di Madinah.

Adakah interaksi baginda ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di Malaysia, dan boleh menjadi suri tauladan untuk sama-sama kita amalkan.


Khilaf ulama dan memilih pandangan yang lebih lunak


Isu pengunaan nama ALLAH di dalam kitab bible bahasa Melayu ini bukan satu isu teras dan pokok dalam Islam. Ia adalah satu isu ranting yang mana para sarjana Islam sedunia mahu pun tempatan berbeza pendapat dan sudut pandang mengenainya.

Kita perlu jelas terlebih dahulu bahawa yang membezakan akidah Islam dengan agama lain bukanlah pada sebutan nama ALLAH itu, tetapi ketulusan tauhid pada yang Esa dan penafian sekutu kepada ALLAH serta unsur-unsur syirik.

Jika kita meneliti di dalam al-Quran, ALLAH SWT menceritakan bagaimana orang-orang musyrik menjawab soalan yang ditanya kepada mereka dengan menyebut nama ALLAH, dan tidak dibantah bahkan dianjurkan untuk kita umat Islam bersyukur dengan pengakuan itu.

Yang dibantah adalah unsur syirik dan penyekutuan ALLAH, bukan pengunaan nama tersebut. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:-

"Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "ALLAH". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari ALLAH), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)"

(Luqman : 25)



Juga ALLAH SWT menceritakan di dalam al-Quran mengenai akidah triniti Kristian yang dibawa di dalam kitab bible. Ayat ini tidak langsung membantah mereka menyebut ALLAH, tetapi dakwaan bahawa ALLAH itu adalah satu dari yang tiga itulah yang dibantah dan akan membawa kepada akidah kekafiran. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:-

“Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya ALLAHh ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..

(al-Maidah : 73)



Umat Islam di Malaysia bersetuju bahawa dalam hal pengunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Bible, terdapat khilaf dan perbezaan pendapat antara ulama-ulama kontemporari Islam di seluruh dunia.

Walaupun banyak pihak menyatakan kita perlu mendahulukan pendapat ulama-ulama di Malaysia kerana mereka lebih masak dengan isu-isu dan gaya sosiopolitik tempatan, namun jika diteliti, sama terdapat khilaf dan percanggahan pendapat.

Mufti-mufti kerajaan negeri yang menasihati Sultan dalam isu agama seperti Tan Sri Harussani Zakaria, lebih cenderung kepada pandangan bahawa kalimah ALLAH ini hak eksklusif umat Islam.

Berbeza pula dengan pandangan bekas Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang banyak membawa pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi (seorang ulama dunia yang sangat berautoriti dan penerima Tokoh Maal Hijrah Malaysia - 1431/2009), yang membolehkan pengunaan kalimah ALLAH di dalam kitab bible. Dapat disimpulkan bahawa kedua-dua pandangan ini benar, tiada salahnya dan bersandarkan kepada nas-nas Islam yang sahih, cuma berbeza sudut pandang mereka.

Jika kedua-dua pandangan khilaf ini sama-sama benar, maka sebagai pemimpin dan ahli autoriti agama yang menasihati Agong dan Sultan, tiada salahnya jika diambil dan dipilih pandangan yang lebih lunak dengan mereka yang bukan Islam.

Di Malaysia, kita hidup berbilang kaum, adat dan agama. Maka pandangan yang lebih mesra kepada mereka yang bukan Islam perlulah diambil kira agar pergeseran agama dalam Malaysia ini tidak terus-menerus berpanjangan. Sesungguhnya kedamaian itulah yang dicari dan seharusnya menjadi keutamaan dalam Islam.

Malah, jika dilihat dari sudut global pula, jika kita mengambil pendekatan yang membolehkan penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible ini, maka pandangan ini selari dengan pandangan ulama autoriti global seperti Sheikh Yusuf al-Qaradhawi.

Orang-orang yang bukan Islam dari seluruh pelusuk dunia, yang meneropong ke dalam dunia Islam akan lebih melihat keindahan, keselarasan dan kesatuan pandangan ulama-ulama Islam sedunia termasuk Malaysia. Bahkan orang bukan Islam juga tidak pening kepala dengan percanggahan pendapat yang akan menjauhkan mereka dengan dakwah Islam.


Sikap tegas dan keras

Ada sebahagian yang menyatakan bahawa umat Islam perlu tegas dan keras dengan mereka yang bukan Islam sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud:-


“Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)..”

(al-Fath : 29)

Memang benar umat Islam perlu tegas dan keras terutamanya kepada perkara yang melibatkan perkara pokok seperti akidah. Sesungguhnya tiada kompromi dan pecanggahan pendapat di dalam isu itu. Malah dengan sebab itu jugalah umat Islam yang tegas dan keras mempertahankan akidah Islam dari unsur-unsur penyekutuan dan syirik, apabila mereka mati di dalam proses mempertahankan itu, syahid adalah ganjaran buat mereka. Mereka ini terus hidup di sisi ALLAH seperti yang dijanjikan dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud:-


“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama ALLAH itu orang-orang mati, bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

(al-Baqarah : 154)


Namun, sikap tegas dan keras dalam mempertahankan perkara dan isu ranting yang terdapat khilaf dan percanggahan pendapat di kalangan para sarjana Islam tempatan sendiri, kemungkinan akan membawa petaka yang lebih buruk untuk negara.

Sikap tegas dan keras akan membawa kepada ketaksuban yang akan menutup mata dan hati kepada kebenaran dan kedamaian. Jikalau pemimpin-pemimpin agama di Malaysia masih mahu bersikap ‘keras’ dan 'tegas' dengan isu ranting ini, rasanya isu kalimah ALLAH di Malaysia ini tidak akan selesai sampai bila-bila.

Kadang-kala kesilapan kita bersikap keras dan tegas mempertahankan isu yang remeh-temeh, sedangkan isu agama yang lebih besar dan utama kita abaikan.

Islam itu rahmat, dan kerahmatan negara yang dibina atas asas-asas Islam melalui kefahaman dan keadilan sosial oleh pemimpin-pemimpin yang beragama Islam di Malaysia perlu ditonjolkan agar dirasai dan dijiwai oleh semua rakyat terutama mereka yang bukan Islam.

Keadilan ini jika diberi sepenuhnya kepada mereka yang berhak serta dilindungi sepenuhnya hak ini, tidak kira kaum dan agama, lama kelamaan akan memadamkan perspektif negatif mereka terhadap agama Islam dan memudahkan penerimaan mesej kearah kebaikan.


Sunnah, dakwah dan kepimpinan Rasulullah

Jika ditinjau dari sudut pendekatan dakwah dan kepimpinan Rasulullah SAW sendiri, sebagai ketua agama Islam di Madinah, baginda tidak pernah mencampuri urusan ibadah agama lain.

Terpulang kepada orang-orang Kristian dan Yahudi bagaimana mereka mahu mengamalkan agama mereka. Baginda tidak pernah membuat apa-apa ketentuan, perkataan apa yang mereka perlu pakai dan bagaimana mereka perlu beribadah.

Tambahan pula, ALLAH SWT sebutkan bagaimana metod untuk umat Islam berinteraksi dengan mereka yang bukan Islam melalui al-Kafirun, terutama ayat : 6 yang firman-Nya bermaksud:-


"bagi kamu agamamu, dan bagiku agamaku"


Pertelingkahan dan perebutan agama ini tidak akan ada sudahnya selama manusia menghuni muka bumi ini. Maka, ALLAH SWT ajarkan satu ayat kesimpulan yang mudah seperti di atas, agar setiap manusia beramal dengan agama masing-masing.

Jangan ada satu agama, terutamanya agama kita Islam, mencampuri urusan agama lain. Bukan hak kita - umat Islam, untuk menentukan itu dan ini di dalam ibadah dan kitab-kitab agama lain.

Peliharalah dulu keaslian agama kita ini dari tokok tambah yang tiada asal dan usulnya. Biar setiap manusia itu berfikir dan memilih sendiri jalan yang benar.

Lantas, tidakkah lebih elok kita mencontohi sunnah perjalanan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, sebagai ketua agama Islam dalam interaksinya dengan mereka yang bukan Islam; yang mana bukan urusan kita untuk campur tangan dalam menentukan bagaimana mereka yang bukan Islam itu membaca kitab-kitab mereka.

Campur tangan sesuatu agama kepada agama lain tidak selari dengan ayat dan suruhan ALLAH SWT melalui surah al-Kafirun, terutama ayat yang disebut di atas tadi. Dan, jika kita menentukan perkataan apa yang mereka perlu gunakan di dalam kitab-kitab mereka, tidakkah kita sudah terpaling dari ayat ALLAH itu?


Penyelesaian bagi masa hadapan yang lebih baik

Oleh yang demikian, isu persoalan penggunaan nama ALLAH di dalam Bible bahasa Melayu yang ranting ini tidak perlu dijadikan agenda besar umat Islam di Malaysia.

Tumpulah kudrat dan tenaga kita ini kepada agenda Islam yang lebih besar terutamanya ekonomi umat yang kian lama kian pincang. Tidak perlu kita membuang masa mencampuri urusan agama lain.

Masa depan umat Islam bergantung sejauh mana kita dapat membina ruh Islami yang sebenar, dan pada masa yang sama menguasai ekonomi dunia yang pada masa kini semakin jauh dari genggaman.

Bina kembali kekuatan umat Islam yang kita megah-megahkan di zaman kegemilangan kita masa dahulu. Sikap tegas dan keras haruslah bertempat agar kelangsungan keamanan yang telah lama kita nikmati di Malaysia ini akan terus berkekalan.

Membina akidah yang bertunjangkan kepada al-Quran dan as-Sunnah kepada generasi kini dan masa hadapan perlu dijadikan usaha prioriti agar mereka dapat mengenal bahawa ALLAH itu satu; tiada anak dan sekutu, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha pemberi petunjuk dan hidayah agar manusia dapat membezakan mana akidah yang benar dan yang batil.


Ibrahim Adham Asmail

B.A. Pengajian Quran dan Sunnah (Universiti Sains Islam Malaysia)
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts

Arkib Blog