Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu semasa. Papar semua catatan

Ahad, 13 April 2014

KLIA2: Air Asia Cuba Tutup Pekung Mereka dan Halakan Senapang Kepada Kerajaan

KLIA2: Air Asia Cuba Tutup Pekung Mereka dan Halakan Senapang Kepada Kerajaan




Kita tidak boleh nafikan Air Asia telah membuka satu lembaran baru dalam industri penerbangan negara. Jika dulu hanya orang kaya-kaya sahaja yang mampu naik kapal terbang kerana industri penerbangan negara pada masa itu hanya dikuasai oleh MAS sahaja.


Selepas wujudnya Air Asia industri penerbangan negara semakin berkembang pesat. Wujudnya pula Firefly dan yang terbaru adalah Malindo Air. 

Sumbangan Air Asia dalam membawa masuk pelancong ke Malaysia juga tidak boleh dinafikan. Bukan faktor tambang semata-mata yang membuatkan orang ramai atau pelancong memilih Air Asia, tetapi cara pengiklanan mereka yang membuatkan orang ramai tertarik. Bab tambang bila campur tolak kali bahagi antara tambang Air Asia dengan syarikat penerbangan lain ianya akan jadi lebih kurang sahaja, malah Air Asia ada yang lebih mahal. 

Satu lagi kejayaan Air Asia yang tidak boleh dinafikan adalah kejayaan mereka bertapak di negara-negara luar. Contohnya, Thailand, Indonesia, Jepun dan yang masih dalam perundingan adalah India. Sikit sebanyak kita boleh tumpang rasa bangga apabila sebuah syarikat dari Malaysia berjaya bertapak di negara-negara berkenaan dan namanya menjadi sebutan dunia. 

Namun begitu itu semua bukan alasan untuk Air Asia menunjukkan sikap sombong dan bongkak kepada kerajaan. Jika tanpa sumbangan atau pertolongan kerajaan Air Asia pun tidak akan berada di tempat yang mereka berada sekarang. Bohonglah jika Air Asia kata kejayaan mereka hari ini adalah hasil usaha mereka sendiri. Walaupun Tony Fernandez keturunan India, beliau sendiri berhadapan dengan seribu satu masalah hari ini untuk membolehkan Air Asia India diwujudkan. Sampai hari ini pun beliau masih belum mendapat kelulusan untuk bertapak di India. Tetapi di Malaysia Air Asia tidak menghadapi masalah-masalah besar. 

Kalau kita nak ungkit bab jasa atau sumbangan untuk membolehkan kita menuntut macam-macam, babi pun banyak boleh menuntut dari manusia. Jangan ingat babi tiada sumbangan kepada manusia. Jalan-jalan yang ada kebanyakannya adalah jalan dirintis oleh babi. Dulu kita mana ada jalan, semuanya hutan. Babi berjalan beramai-ramai dalam hutan sampai botak rumput. Kemudian manusia tengok, oh sini jalannya. Manusia pun guna jalan itu untuk ke sana sini. Kemudian apabila negara dah maju sikit, manusia pun turap jalan itu jadi jalan raya. Asalnya adalah jalan babi….

Air Asia enggan berpindah ke klia2 atas alasan keselamatan, keselesaan dan kos kepada penumpang. Apakah di LCCT sekarang ianya selamat dan selesa kepada penumpang ? 

Waktu kita keluar dari balai pelepasan menuju ke pesawat atau turun daripada pesawat menuju ke balai ketibaan, kita sendiri dapat rasakan bagaimana suasana yang tidak selesa dan tidak selamat. Dengan debunya, bunyi bising pesawat dan kenderaan Air Asia yang lalu lalang. Itu selamatkah ? Itu selesakah ? 

Air Asia berkata kos yang dikenakan kepada penumpang di klia2 akan membantutkan usaha Air Asia memberikan penerbangan tambang murah kepada penumpang. Ini boleh dikirakan sebagai lawak april fool 2014 yang dibuat Air Asia. 

Air Asia sedar atau tidak yang mereka menyembelih pengguna selama ini dengan bermacam-macam caj yang tidak logik ? 

Mana ada syarikat penerbangan lain yang mengenakan bayaran caj daftar masuk kepada penumpang ? Tetapi Air Asia kenakan bayaran RM 10.00 kepada seorang penumpang. Kadang-kadang waktu di lapangan terbang saya kasihan melihat orang-orang yang tidak mahir menggunakan teknologi, seperti orang tua atau orang kampung yang pergi daftar masuk kemudian diminta membayar RM 10.00. Pernah satu ketika saya melihat seorang bapa yang membawa 5 anak dan isteri untuk merasai naik kapal terbang, dan tidak tahu untuk menggunakan mesin daftar masuk layan diri, diminta membayar RM 70.00 caj daftar masuk. 

Begitu juga dengan bayaran bagasi yang didaftar masuk. Penumpang perlu membayar setiap bagasi yang didaftar masuk bergantung kepada berat beg. Sedangkan rata-rata syarikat penerbangan memberikan percuma kepada penumpang untuk mendaftar masuk bagasi antara 15kg-20kg. 

Berikut adalah harga yang dikenakan oleh Air Asia untuk bagasi yang didaftar masuk


Ini jika kita beli talian, jika yang tidak pandai menggunakan teknologi pula penumpang perlu bayar lebih daripada itu di kaunter daftar masuk. 

Paling rendah yang dijual adalah 15kg dengan harga Rm 25.00. Kalau beg kita 10kg, maka 5kg dapat percuma sahaja kepada Air Asia. Kalau beg kita 18kg pula, maka kena bayar tambahan. Mereka tak akan beri percuma kepada kita. 

Bercakap bab tambang pula, ramai diantara kita yang tertarik dengan iklan Air Asia dan percaya bulat-bulat kepada iklan mereka. Sedangkan hakikatnya tambang mereka tidak semurah yang kita jangka. 

Saya buktikan kepada anda melalui perbandingan di bawah. Saya membuat pencarian di talian untuk perjalanan daripada Kuala Lumpur-Kota Kinabalu-Kuala Lumpur pada tarikh 13 dan 14 April 2014.



Air Asia : Tambang yang dikenakan RM 628.00 tidak termasuk caj daftar masuk. Makan dan minum kena bayar lain. Berlepas dari LCCT dan kena panjat tangga. 

MAS : RM 580 dengan layanan 5 bintang. Daftar masuk penumpang dan bagasi 20kg tanpa sebarang bayaran. Makanan percuma. Berlepas daripada KLIA dan pakai jambatan udara. 


Malindo Air : RM 388.00 termasuk bayaran insuran, daftar masuk bagasi 15kg dan penumpang percuma. Berlepas dari KLIA dan pakai jambatan udara. Jika anda tidak memilih untuk membeli insuran harga kurang lagi RM 30.00 kepada RM 358.00

Bukti-bukti diatas cukup untuk saya buktikan bahawa Air Asia adalah sebuah syarikat yang menekan pelanggan. Kemudian guna alasan tidak mahu berpindah ke klia2 kerana untuk memastikan mereka dapat mengekalkan tambang murah kepada pelanggan. Kepala hotak dia ! 

Apa yang mereka buat itu adalah untuk memainkan sentimen rakyat agar membenci kerajaan. Kononnya bukan mereka yang menekan pelanggan tetapi kerajaan yang menekan pelanggan hingga mereka tidak dapat lagi menyediakan perkhidmatan tambang murah kepada pelanggan. Sebabnya apabila berpindah ke klia2 , macam-macam caj yang dikenakan MAB hingga mereka tidak dapat lagi memberikan tambang yang murah. Sedangkan caj-caj yang dikenakan MAB berapa sen sangat dan itu semua untuk keselesaan penumpang. Penumpang tak perlu lagi nak berpanas, berhujan atau berdebu kerana dapat masuk ke pesawat dengan menggunakan jambatan udara. Percayalah cakap saya, selepas ini mereka akan tekan pelanggan dengan pelbagai caj lain lagi, atas alasan caj di klia2 yang tinggi. 

Orang-orang Malaysia kena buang daripada pemikiran mereka bahawa Air Asia adalah sebuah syarikat penerbangan tambang murah. Bila ingat murah, terus ingat Air Asia. Itulah yang tertanam dalam pemikiran rakyat Malaysia selama ini. Semuanya kerana termakan dengan iklan. Mulai hari ini orang Malaysia kena tanam dalam pemikiran mereka bahawa Air Asia sebuah syarikat yang suka menekan pelanggan dengan pelbagai caj yang tidak masuk akal. Sebab itu mereka untung berbelas bilion setahun. Kemudian kutuk MAS. Sedangkan MAS dalam masa yang sama banyak buat kerja amal termasuklah untuk penerbangan pendalaman Sabah dan Sarawak. Dulu kerajaan bagi kepada Air Asia untuk uruskan penerbangan tempatan di Sabah dan Sarawak. Selepas setahun cabut lari…Mas juga yang terpaksa ambil balik...
Share:

Jumaat, 31 Januari 2014

Kronologi Lengkap Kes Kelar Dan Tetak Anak Sendiri Di Bandar Baru Bangi

Kronologi Lengkap Kes Kelar Dan Tetak Anak Sendiri Di Bandar Baru Bangi


Agak menyedihkan apabila seorang anak mati di tangan bapa kandungnya sendiri. Kejadian menyedihkan berlaku apabila seorang bapa telah mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.

Kronologi Kes Bunuh di Bandar Baru Bangi

Pukul 4:00 petang : Khadijah (15 tahun) bersama abang sulungnya (18 tahun) berada di tingkat atas rumah teres ( 2 tingkat) telah terdengar jeritan daripada tingkat bawah dan mendapati bapanya (suspek) sedang memegang sebilah parang dan beliau terus mendapatkan abangnya. Kedua-dua mereka turun bawah mendapati 2 adik perempuan mereka berusia (12 tahun) dan (10 tahun) dalam keadaan berlumuran darah di badan manakala adik perempuan bongsu 7 tahun (si mati) terbaring di atas katil bilik bawah. Suspek pada masa itu dipercayai telah melarikan diri melalui pintu belakang. Seterusnya penama (khadijah) telah hubungi polis.

Pukul 4:15 petang : Norazman Mohammad mencederakan anak-anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari. Anak perempuan Norazman Mohammad berusia 15 tahun itu, yang baru pulang dari sekolah menengah agama, terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri dengan memegang sebilah parang di dalam rumah.

Pukul 4:19 petang : Semasa sedang bertugas, anggota Gerakan Kajang telah terima panggilan MERS daripada seorang perempuan bernama Khatijah beritahu ada pergaduhan satu tempat kejadian dan telah bergegas ke tempat kejadian dengan kenderaan MPV 206 ke lokasi kejadian. Di lokasi kejadian, ada kesan darah di dalam rumah, dan mendapati ada 3 kanak kanak Melayu telah mengalami pendarahan di bahagian badan. Dimana salah seorang mangsa ini telah meninggal dunia. Ambulan hospital kajang telah di hubungi ke lokasi.

Soalsiasat secara lisan isteri suspek (42 tahun) kerja sebagai pegawai penyelidik di TM Cyberjaya memberitahu suspek tidak bekerja sejak 1 tahun lepas dan sejak kebelakangan ini seperti hadapi tekanan perasaan walaubagaimanapun isteri tidak pernah bertanya sebabnya.


Pasangan suami isteri telah berumahtangga sejak 19 tahun lalu mempunyai 6 org anak berusia antara 18 hingga 7 tahun. (Sulung (L – 18 tahun) , kedua ( L – 17 tahun), ketiga (P – 15 tahun), keempat (P – 12 tahun) , kelima (P- 10 tahun) dan Bongsu (P – 7 tahun). Telah tinggal di rumah sekarang sejak 11 tahun lepas.
Mangsa cedera adalah 2 anak perempuan umur 12 tahun dan 10 tahun kini sedang mendapat rawatan di Hospital Kajang. 

Manakala simati adalah anak bongsu pasangan ini. Kecederaan jelas pada bahagian leher.

Sejurus kejadian dimaklumkan ops kesan telah dilakukan dan berjaya tangkap suspek di bahagian belakang rumah kawasan semak di mana suspek sedang bersembunyi dalam keadaan kepalanya cedera (berdarah) dan ada 1 ketul batu bata ada kesan darah 25 meter daripada lokasi suspek ditemui.

Suspek yang bersenjatakan sebilah parang mencederakan anak-anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari. Polis masih lagi mencari jari itu di dalam rumah suspek



P/S : Peringatan bersama untuk kita semua disebalik kejadian menyayat hati dan tragis seperti ini. Hakikatnya, tekanan memang boleh hilangkan tahap kewarasan seorang manusia yang diberikan akal secukupnya untuk membuat pertimbangan dan berfikir.


Banyakkan berdoa agar Allah melindungi kita daripada kezaliman, kekufuran. 

Alfatihah. Salam takziah kepada keluarga mangsa.
Share:

Mencari penyelesaian isu penggunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Bible Bahasa Melayu

Mencari penyelesaian isu penggunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Bible Bahasa Melayu
Mencari penyelesaian isu penggunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Bible Bahasa Melayu

Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa agama Islam adalah agama rasmi bagi negara dan statusnya dilindungi oleh Perlembangaan Persekutuan, iaitu satu dokumen undang-undang yang tertinggi di Malaysia.

Memang tidak disebutkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber hukum tertinggi, namun acuannya mempunyai unsur-unsur keislaman dan negara Malaysia dibentuk dengan asas-asas kenegaraan Islam.

Yang di-Pertuan Agong juga diberi kuasa dan berperanan rasmi sebagai ketua agama Islam bagi Malaysia (walaupun undang-undang Islam negeri-negeri di Malaysia tertaluk kepada Sultan negeri tersebut).

Beberapa hari lepas, Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam telah bertitah bahawa kalimah ALLAH ini adalah hak eksklusif umat Islam di Malaysia dan pengunaannya dilarang dalam kalangan umat agama lain, khususnya di dalam kitab-kitab agama mereka.

Walaupun ada pihak yang menyatakan bahawa titah itu khas bagi Negeri Kedah (kerana baginda bertitah sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86), namun kesemua Sultan di setiap negeri-negeri di Malaysia mengambil pendirian yang sama.

Terus kepada isu yang ingin saya bawa mengenai pengunaan kalimah ALLAH di dalam kitab bible bahasa Melayu yang sedang hangat diperdebatkan. Isu penggunaan kalimah ALLAH ini sudah agak berpanjangan dan meleret tanpa ada satu keputusan yang konklusif bagi menyelesaikannya serta diterima baik oleh semua pihak yang terbabit.

Perselisihan agama ini perlu dikhatamkan segera oleh pihak yang berautoriti dan jangan dibiarkan konflik ini berpanjangan kerana akan membawa petaka buruk kepada negara yang kita sayangi ini kelak.

Ia juga berkemungkinan akan berlarutan kepada perang agama di Malaysia, jika pelampau-pelampau agama yang taksub membawa isu ini mengikut hawa nafsu yang tidak didorongi oleh akal yang waras.

Maka, saya akan cuba mengupas secara ringkas jalan bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah ALLAH ini dengan membincangkan pandangan para sarjana Islam tempatan dan prioriti memilih pandangan yang lebih lunak, serta persoalan keperluan sikap tegas dan keras dalam isu ini.

Juga akan saya cungkil sedikit dari sudut sejarah perjalanan sunnah kehidupan Rasulullah SAW., sebagai ketua agama Islam di Madinah, bagaimana interaksi kepimpinan baginda dalam mengurus agama kaum Kristian dan Yahudi di Madinah.

Adakah interaksi baginda ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di Malaysia, dan boleh menjadi suri tauladan untuk sama-sama kita amalkan.


Khilaf ulama dan memilih pandangan yang lebih lunak


Isu pengunaan nama ALLAH di dalam kitab bible bahasa Melayu ini bukan satu isu teras dan pokok dalam Islam. Ia adalah satu isu ranting yang mana para sarjana Islam sedunia mahu pun tempatan berbeza pendapat dan sudut pandang mengenainya.

Kita perlu jelas terlebih dahulu bahawa yang membezakan akidah Islam dengan agama lain bukanlah pada sebutan nama ALLAH itu, tetapi ketulusan tauhid pada yang Esa dan penafian sekutu kepada ALLAH serta unsur-unsur syirik.

Jika kita meneliti di dalam al-Quran, ALLAH SWT menceritakan bagaimana orang-orang musyrik menjawab soalan yang ditanya kepada mereka dengan menyebut nama ALLAH, dan tidak dibantah bahkan dianjurkan untuk kita umat Islam bersyukur dengan pengakuan itu.

Yang dibantah adalah unsur syirik dan penyekutuan ALLAH, bukan pengunaan nama tersebut. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:-

"Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "ALLAH". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari ALLAH), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)"

(Luqman : 25)



Juga ALLAH SWT menceritakan di dalam al-Quran mengenai akidah triniti Kristian yang dibawa di dalam kitab bible. Ayat ini tidak langsung membantah mereka menyebut ALLAH, tetapi dakwaan bahawa ALLAH itu adalah satu dari yang tiga itulah yang dibantah dan akan membawa kepada akidah kekafiran. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:-

“Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya ALLAHh ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..

(al-Maidah : 73)



Umat Islam di Malaysia bersetuju bahawa dalam hal pengunaan kalimah ALLAH di dalam kitab Bible, terdapat khilaf dan perbezaan pendapat antara ulama-ulama kontemporari Islam di seluruh dunia.

Walaupun banyak pihak menyatakan kita perlu mendahulukan pendapat ulama-ulama di Malaysia kerana mereka lebih masak dengan isu-isu dan gaya sosiopolitik tempatan, namun jika diteliti, sama terdapat khilaf dan percanggahan pendapat.

Mufti-mufti kerajaan negeri yang menasihati Sultan dalam isu agama seperti Tan Sri Harussani Zakaria, lebih cenderung kepada pandangan bahawa kalimah ALLAH ini hak eksklusif umat Islam.

Berbeza pula dengan pandangan bekas Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang banyak membawa pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi (seorang ulama dunia yang sangat berautoriti dan penerima Tokoh Maal Hijrah Malaysia - 1431/2009), yang membolehkan pengunaan kalimah ALLAH di dalam kitab bible. Dapat disimpulkan bahawa kedua-dua pandangan ini benar, tiada salahnya dan bersandarkan kepada nas-nas Islam yang sahih, cuma berbeza sudut pandang mereka.

Jika kedua-dua pandangan khilaf ini sama-sama benar, maka sebagai pemimpin dan ahli autoriti agama yang menasihati Agong dan Sultan, tiada salahnya jika diambil dan dipilih pandangan yang lebih lunak dengan mereka yang bukan Islam.

Di Malaysia, kita hidup berbilang kaum, adat dan agama. Maka pandangan yang lebih mesra kepada mereka yang bukan Islam perlulah diambil kira agar pergeseran agama dalam Malaysia ini tidak terus-menerus berpanjangan. Sesungguhnya kedamaian itulah yang dicari dan seharusnya menjadi keutamaan dalam Islam.

Malah, jika dilihat dari sudut global pula, jika kita mengambil pendekatan yang membolehkan penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible ini, maka pandangan ini selari dengan pandangan ulama autoriti global seperti Sheikh Yusuf al-Qaradhawi.

Orang-orang yang bukan Islam dari seluruh pelusuk dunia, yang meneropong ke dalam dunia Islam akan lebih melihat keindahan, keselarasan dan kesatuan pandangan ulama-ulama Islam sedunia termasuk Malaysia. Bahkan orang bukan Islam juga tidak pening kepala dengan percanggahan pendapat yang akan menjauhkan mereka dengan dakwah Islam.


Sikap tegas dan keras

Ada sebahagian yang menyatakan bahawa umat Islam perlu tegas dan keras dengan mereka yang bukan Islam sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud:-


“Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)..”

(al-Fath : 29)

Memang benar umat Islam perlu tegas dan keras terutamanya kepada perkara yang melibatkan perkara pokok seperti akidah. Sesungguhnya tiada kompromi dan pecanggahan pendapat di dalam isu itu. Malah dengan sebab itu jugalah umat Islam yang tegas dan keras mempertahankan akidah Islam dari unsur-unsur penyekutuan dan syirik, apabila mereka mati di dalam proses mempertahankan itu, syahid adalah ganjaran buat mereka. Mereka ini terus hidup di sisi ALLAH seperti yang dijanjikan dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud:-


“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama ALLAH itu orang-orang mati, bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

(al-Baqarah : 154)


Namun, sikap tegas dan keras dalam mempertahankan perkara dan isu ranting yang terdapat khilaf dan percanggahan pendapat di kalangan para sarjana Islam tempatan sendiri, kemungkinan akan membawa petaka yang lebih buruk untuk negara.

Sikap tegas dan keras akan membawa kepada ketaksuban yang akan menutup mata dan hati kepada kebenaran dan kedamaian. Jikalau pemimpin-pemimpin agama di Malaysia masih mahu bersikap ‘keras’ dan 'tegas' dengan isu ranting ini, rasanya isu kalimah ALLAH di Malaysia ini tidak akan selesai sampai bila-bila.

Kadang-kala kesilapan kita bersikap keras dan tegas mempertahankan isu yang remeh-temeh, sedangkan isu agama yang lebih besar dan utama kita abaikan.

Islam itu rahmat, dan kerahmatan negara yang dibina atas asas-asas Islam melalui kefahaman dan keadilan sosial oleh pemimpin-pemimpin yang beragama Islam di Malaysia perlu ditonjolkan agar dirasai dan dijiwai oleh semua rakyat terutama mereka yang bukan Islam.

Keadilan ini jika diberi sepenuhnya kepada mereka yang berhak serta dilindungi sepenuhnya hak ini, tidak kira kaum dan agama, lama kelamaan akan memadamkan perspektif negatif mereka terhadap agama Islam dan memudahkan penerimaan mesej kearah kebaikan.


Sunnah, dakwah dan kepimpinan Rasulullah

Jika ditinjau dari sudut pendekatan dakwah dan kepimpinan Rasulullah SAW sendiri, sebagai ketua agama Islam di Madinah, baginda tidak pernah mencampuri urusan ibadah agama lain.

Terpulang kepada orang-orang Kristian dan Yahudi bagaimana mereka mahu mengamalkan agama mereka. Baginda tidak pernah membuat apa-apa ketentuan, perkataan apa yang mereka perlu pakai dan bagaimana mereka perlu beribadah.

Tambahan pula, ALLAH SWT sebutkan bagaimana metod untuk umat Islam berinteraksi dengan mereka yang bukan Islam melalui al-Kafirun, terutama ayat : 6 yang firman-Nya bermaksud:-


"bagi kamu agamamu, dan bagiku agamaku"


Pertelingkahan dan perebutan agama ini tidak akan ada sudahnya selama manusia menghuni muka bumi ini. Maka, ALLAH SWT ajarkan satu ayat kesimpulan yang mudah seperti di atas, agar setiap manusia beramal dengan agama masing-masing.

Jangan ada satu agama, terutamanya agama kita Islam, mencampuri urusan agama lain. Bukan hak kita - umat Islam, untuk menentukan itu dan ini di dalam ibadah dan kitab-kitab agama lain.

Peliharalah dulu keaslian agama kita ini dari tokok tambah yang tiada asal dan usulnya. Biar setiap manusia itu berfikir dan memilih sendiri jalan yang benar.

Lantas, tidakkah lebih elok kita mencontohi sunnah perjalanan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, sebagai ketua agama Islam dalam interaksinya dengan mereka yang bukan Islam; yang mana bukan urusan kita untuk campur tangan dalam menentukan bagaimana mereka yang bukan Islam itu membaca kitab-kitab mereka.

Campur tangan sesuatu agama kepada agama lain tidak selari dengan ayat dan suruhan ALLAH SWT melalui surah al-Kafirun, terutama ayat yang disebut di atas tadi. Dan, jika kita menentukan perkataan apa yang mereka perlu gunakan di dalam kitab-kitab mereka, tidakkah kita sudah terpaling dari ayat ALLAH itu?


Penyelesaian bagi masa hadapan yang lebih baik

Oleh yang demikian, isu persoalan penggunaan nama ALLAH di dalam Bible bahasa Melayu yang ranting ini tidak perlu dijadikan agenda besar umat Islam di Malaysia.

Tumpulah kudrat dan tenaga kita ini kepada agenda Islam yang lebih besar terutamanya ekonomi umat yang kian lama kian pincang. Tidak perlu kita membuang masa mencampuri urusan agama lain.

Masa depan umat Islam bergantung sejauh mana kita dapat membina ruh Islami yang sebenar, dan pada masa yang sama menguasai ekonomi dunia yang pada masa kini semakin jauh dari genggaman.

Bina kembali kekuatan umat Islam yang kita megah-megahkan di zaman kegemilangan kita masa dahulu. Sikap tegas dan keras haruslah bertempat agar kelangsungan keamanan yang telah lama kita nikmati di Malaysia ini akan terus berkekalan.

Membina akidah yang bertunjangkan kepada al-Quran dan as-Sunnah kepada generasi kini dan masa hadapan perlu dijadikan usaha prioriti agar mereka dapat mengenal bahawa ALLAH itu satu; tiada anak dan sekutu, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha pemberi petunjuk dan hidayah agar manusia dapat membezakan mana akidah yang benar dan yang batil.


Ibrahim Adham Asmail

B.A. Pengajian Quran dan Sunnah (Universiti Sains Islam Malaysia)
Share:
Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts