Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Jumaat, 7 Februari 2014

ROGOL : Anda Mampu Mengelaknya Jika.....

Kejadian rogol boleh berlaku kepada sesiapa sahaja khususnya kaum HAWA. Tidak ketinggalan juga kanak-kanak yang baru hendak meningkat dewasa. Si pelaku pula akan bertindak sekiranya ada peluang dan ruang diberikan oleh mangsa. 

Beberapa taktik dikesan yang digunakan penjenayah untuk mengumpan mangsa:
  • Suspek akan membuat pemerhatian selama tempoh mana yang dikehendaki dan mengenal pasti mangsa terlebih dahulu
  • Suspek akan berselindung di sebalik semak samun atau bahagian bangunan untuk memerhati mangsa sama ada bersendirian atau berkumpulan
  • Suspek akan mengumpan mangsa dengan makanan atau permainan untuk mengekorinya masuk ke dalam kenderaan atau berjalan kaki
  • Suspek juga akan mengumpan mangsa dengan menawarkan bantuan (sekiranya melihat mangsa berseorangan) atau berperwatakan baik yang akan menyelamatkan mangsa sekiranya berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Nasihat kepada PENJAGA:
  • Jangan membiarkan anak-anak ke sekolah atau ke mana-mana tempat tanpa pengawasan.
  • Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak menggunakan jalan yang terang dan ada orang ramai. 
  • Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak tidak menggunakan jalan pintas melalui semak samun, padang, tempat letak kereta atau berjalan belakang rumah atau kedai.
  • Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak tidak mengambil atau menerima makanan dan minuman dan barang-barang yang diberikan oleh orang yang tidak atau baru dikenali. Mungkin ia mengandungi dadah, bahan pelali atau perangsang nafsu.
  • Mengawasi anak-anak yang kurang siuman atau OKU supaya tidak terbiar dan terdedah kepada bahaya rogol.
  • Memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga tubuh badan mereka daripada dicerobohi.

Nasihat kepada WANITA dan REMAJA PEREMPUAN khususnya:
  • Elak berjalan bersendirian.
  • Membawa alat penggera peribadi.
  • Sekiranya anda terpaksa bekerja sehingga lewat, pastikan ada orang lain dalam bangunan seperti penyelia atau pegawai keselamatan yang akan menunggu atau menemani anda. 
  • Jangan mempercayai janji-janji oleh bomoh atau ahli perubatan yang tidak bertauliah. Telah terbukti persetubuhan bukan satu cara untuk berubat tetapi satu penipuan.
  • Ketika hendak gunakan kenderaan awam pastikan ada penumpang wanita lain bersama.
  • Sekiranya merasakan diri diekori, tukar arah jalan atau lintas jalan. 
  • Sekali sekala menukar laluan kebiasaan (jika ada) bagi mengelak dijadikan sasaran. Aktiviti rutin yang sama setiap hari boleh memudahkan suspek merancang jenayah terhadap mangsa

SEKIRANYA menghadapi ancaman ROGOL:
  • Undang-undang membenarkan hak untuk mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.
  • Bertenang dan tidak panik jika diugut atau diserang.
  • Sekiranya anda membuat keputusan untuk melawan, pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Gunakan tangan atau kaki atau sebarang benda yang dibawa seperti beg tangan, payung, kunci dan sebagainya untuk melawan.
  • Camkan muka dan tanda-tanda yang ada pada penjenayah itu serta pakaiannya dan juga nombor kenderaan yang digunakan.
  • Untuk membantu penyiasatan polis, anda dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai sewaktu kejadian sebelum membuat laporan polis.

Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts

Arkib Blog