Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Sabtu, 1 Februari 2014

Pas tak pernah rugi dalam berkawan

PILIHAN raya umum 1955 diperkenalkan oleh British untuk menyediakan pemimpin-pemimpin sebelum kemerdekaan diberikan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam pilihan raya di bawah tekanan Ordinan Darurat 1948 yang menyediakan iklim intimidasi dan euforia ketakutan ini , Umno, MIC dan MCA berada dalam satu koalisi yang dikenali sebagai Perikatan yang berlambangkan kapal layar.

Impaknya seperti diduga, perikatan Umno, MCA,MIC telah berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Pas melalui calonnya Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Husain telah memenangi kerusi Krian Perak.

Selepas mencapai kemerdekaan, pihak oposisi yang mengadakan pemuafakatan politik ialah parti berhaluan sosialis iaitu Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh.

Jalur Melayu dan Cina sosialis-marhaenism ini juga menjadi kelompok yang kuat berkubu di bandar dan pinggir bandar dan menjenamakan mereka sebagai Sosialist Front (SF).

Pas yang mula dipimpin oleh Dr Burhanuddin al Helmi pada tahun 1956 mengakar kukuh di kawasan Melayu dan seterusnya memenangi negeri Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959.

Pas pernah berpakat dengan Parti Negara yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar sehingga pengasas Umno itu memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pas, selepas tragedi 13 Mei 1969 telah jemput untuk berada dalam koalisi baru yang dinamakan Barisan Nasional, walaupun telah membayar harga yang mahal apabila segelintir pemimpin dan ahlinya tidak bersetuju dengan tindakan Pas yang dipimpin oleh Dato Asri.

Suara vokal Psd yang mula mengendur akibat berada dalam kerajaan campuran, maka anak-anak muda bernuansa Islam menuhuhkan Abim pada tahun 1971.

Pas semasa dalam kerajaan campuran telah melakukan pemberdayaan Islamisasi dalam pentadbiran, antaranya menghapuskan iklan arak di media perdana, laungan azan di media eletronik, mengadakan bulan dakwah, mengaktifkan Yadim dan pelbagai jasa yang masih dikecapi masyarakat negara ini.

Jodoh Pas tidak panjang bersama BN, Umno tidak pernah jujur bersahabat dan Pas ditendang keluar pada tahun 1977.

BN menaja serpihan yang dikenali sebagai Berjasa dalam pilihan raya umum tahun 1978 dan Pas hilang pengkalan kuasanya di Kelantan.

Awan hitam pekat mengarak di dada langit, namun tempohnya singkat apabila ulama-ulama Pas dengan pantas menggerakkan gerakan jihad ta'lim serta pentarbiahan kepada ahli yang agak merosot akibat keputusan teruk PRU 1978.

Dalam dekad 1980an, ditengah gelombang kebangkitan Islam pencapaian Pas dalam persaingan demokrasi agak suram dan dramatik.

PRU 1982, aktivis-aktivis gerakan Islam terpanar dengan kemasukan Presiden Abim ke dalam Umno, juga menyaksikan masyarakat yang teruja dengan peralihan kepimpinan negara pada tahun 1981.

Mahathir menggantikan Husein Onn dan memperkenalkan dasar Penerapan Nilai Islam ( PNI), diikuti beberapa institusi berbaur Islam sebagai tarikan pesona untuk masyarakat Muslim negara ini mengekalkan sokongan kepada kerajaan BN.

Dalam PRU 1986, Pas cuba membina hubungan dengan kaum Cina negara ini dengan penubuhan CCC ( Chinese Consultative Council), namun Pas dipukul dengan keputusan paling teruk dalam sejarah penyertaannya di medan persaingan kuasa. Pas hanya menang satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa, yang dimenangi oleh Haji Nik Abdullah Nik Arsyad.

Langit tak selalu siram, sinar mentari akhirnya memancar terik, berkat dedikasi dan keikhlasan amilin Pas, ALLAH menghadirkan kekuatan demi kekuatan apabila sistem dokongan Pas mula melebar akibat program pencerahan semakin mengisi ruang masyarakat.

Kelompok kelas menengah Melayu semakin bertambah manakala kebejatan pemerintahan regim BN makin dihidu rakyat. Umno berpecah pada tahun 1987, antara kem Mahathir dan kem Ku Li, menatijahkan lahirnya parti Semangat 46.

Pilihan raya kecil Teluk Pasu Terengganu pada tahun 1989, menyaksikan calon Pas, Ustaz Harun Taib memenangi kerusi panas tersebut.

PRK itu menjadi asas permulaan untuk pemuafakatan politik yang lebih menyakinkan kepada front Melayu Islam negara ini.

Angkatan Perpaduan Ummah yang digagaskan untuk PRU 1990 menyaksikan Pas, Semangat 46, Berjasa, Hamim berjaya menyapu bersih semua kerusi di Kelantan. Pas memperolehi manfaat paling besar dengan kembalinya negeri jantung Melayu itu kepada parti Islam tertua negara ini.

Gegaran politik paling dramatik yang berlaku akibat pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, juga menyaksikan lanskap dan demografi politik Malaysia berubah dengan pantas.

Pas yang dipimpin oleh almarhum Dato Fadhil Noor telah menguruskan kebangkitan rakyat dengan berkesan, tertubuhnya GERAK, seterusnya pakatan politik pelbagai kaum dan jaringan sivil yang menghantar kejayaan besar Pas dalam PRU 1999.

Pas memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dun di seluruh negara dalam PRU 1999. Barisan Alternatif yang menampilkan Pas, Parti Keadilan, DAP memberikan tentangan sengit kepada koalisi BN. Terengganu dan Kelantan diperintah oleh Pas , dua buah negeri yang didominasi oleh orang Melayu .

Episod pemuafakatan politik pelbagai kaum makin terserlah dengan berlakunya tsunami politik pada tahun 2008, lima buah negeri tumbang kepada parti oposisi yang akhirnya dijenamakan sebagai Pakatan Rakyat.

Semenjak 2008, serangan hodoh BN terhadap PR tidak pernah berhenti sehingga kini. Pelbagai drama , kejutan demi kejutan sentiasa berlaku, ramai pemain politik samada PR dan BN turun dan naik daripada panggung politik sehinggalah kini.

Pakatan Rakyat tidak pernah sunyi dilambung gelombang, diterjah krisis, disepuh masalah, apatah lagi dengan pelbagai variasi para penyokongnya.

Koalisi paling besar pengaruhnya ini dalam sejarah parti oposisi berjaya membentuk kerajaan negeri dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN dalam PRU 13. Keberadaan PR menjadi kuasa semak dan imbang yang kuat kepada regim BN dan dua blok kuasa politik ini menjadi pilihan rakyat negara ini.

Pas dalam sejarahnya melalui pelbagai tajribah politik dalam usaha memenangi rakyat serta salah satu usaha parti Islam ini melebarkan dakwah.

Kebijakan politik Pas ini akhirnya juga diadaptasi oleh gerakan Islam di dunia seperti memunculkan MMA di Pakistan, koalisi parti -parti muslim yangtelaah menyatukan Jamiatul Ulama dan Jamiat Islami.

Pas tidak pernah mengkhianati rakan pemuafakatannya dalam sejarah, pernah sepi bersendirian, disakiti teman tahalluf siyasi namun harakatul ummah ini dengan jiwa yang besar terus membadai perjuangan.

Keikhlasan berteman inilah antara sifir congak paling ampuh mengapa parti Islam ini makin melebar sokongan dan dokongan termasuk kaum bukan Islam.

Hormatilah Pas sebagai temaan pemuafakatan politik, jangan sakiti gerakan Islam ini kerana sejarah menunjukkan Pas tidak pernah rugi dalam berkawan.

Parti berbasis aqidah ini mempunyai prinsip dan didokong jutaan manusia, ia terus bergerak dan mara untuk menyampaikan dakwah dan merengkuh sokongan siasah untuk menunjang Syariah dalam tanahair tercinta ini.

Tiada madah berhelah, kerana obligasi akhirat adalah matlamat pasti harakatul ummah ini.

*Dr Riduan Mohamad Nor Penulis ialah Setiausaha Lujnah Dakwah Pas Pusat

Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts

Arkib Blog