Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Ahad, 9 Februari 2014

JASAMU AKAN SENTIASA DIKENANG PEHIN SRI ABDUL TAIB BIN MAHMUD. SIAPAKAH KETUA MENTERI SARAWAK BUMI KENYALANG YANG KE-5?????



Setelah pelbagai spekulasi daripada media-media massa mengenai ura-ura pengunduran Ketua Menteri Sarawak yang ke-4 iaitu Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud, akhirnya pada 8hb Februari 2014 segala-galanya sudah terjawab. Sahih bahawa Ketua Menteri Sarawak yang telah berkhidmat menabur bakti untuk Sarawak selama lebih kurang 33 tahun akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri dan bersara daripada arena politik. Sekarang apa yang pasti, seluruh dunia lebih-lebih lagi rakyat Sarawak Bumi Kenyalang di dalam debaran menanti siapakah yang akan menjadi pengganti beliau. Bagi memberikan ruang informasi istimewa untuk kali ini Borneo Oracle akan memberikan penghormatan kepada Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud dengan membuat posting istimewa mengenai sejarah hidup Ketua Menteri Sarawak agar kita mampu mengenal penghidupan Pehin Sri yang sudah tentu namanya tercatit di dalam sejarah Sarawak sebagai Ketua Menteri Sarawak yang paling lama berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak. 

Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud dilahirkan di Miri, Sarawak pada 21 Mei 1936. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah St. Joseph, Miri. Seperti kanak-kanak yang lain lebih-lebih lagi beliau dilahirkan di kalangan keluarga yang kurang berada, Pehin Sri Abdul Taib telah melalui zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak Muslim yang lain dan Pehin Sri amat berminat dengan selok-belok Islam dan seringkali surau di kampung beliau dibesarkan menjadi tempat beliau mendapat rujukan dan mempelajari agama Islam. Melihat kepada kecenderungan Pehin Sri Abdul Taib ini yang mempunyai potensi untuk dimajukan maka apabila meningkat remaja, beliau telah dibawa oleh ayah saudaranya iaitu Tun Abdul Rahman bin Yaakub untuk disekolahkan di Sekolah Menengah St. Joseph, Kuching. Setelah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan Senior Cambridge, beliau telah ditawarkan Biasiswa Shell dibawah Program Colombo. Dengan adanya biasiswa tersebut telah membolehkan beliau untuk melanjutkan pelajaran ke University of Adelaide, Australia dan akhirnya beliau berjaya menamatkan pengajian dengan segulung ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Undang-undang pada tahun 1960. Atas keinginan beliau yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan, sekali lagi beliau telah melanjutkan pelajaran beliau di Harvard International Summer Course dan akhirnya berjaya mendapat sijil professional pada tahun 1964. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebelum Pehin Sri Abdul Taib kembali ke Sarawak, beliau terlebih dahulu pernah bertugas sebagai satu-satunya anak Sarawak yang pernah menjawat sebagai Judge Associate dengan Kerajaan Negara Australia iaitu pada tahun 1961. 

Seperti pemuda biasa yang lain, Pehin Sri Abdul Taib juga mempunyai keinginan untuk hidup berkeluarga. Ketika beliau sedang melanjutkan pelajaran di Australia, Pehin Sri Abdul Taib telah bertemu jodoh dengan isteri pertamanya iaitu Allahyarham Puan Sri Laila Chalecki Taib, seorang wanita berketurunan Poland. Dikatakan bahawa bibit-bibit cinta beliau terbit apabila sering secara tidak sengaja terserempak dengan Allahyarham sewaktu menunaikan sembahyang di sebuah masjid di Adelaide, Australia. Akhirnya sapaan biasa seorang kawan kepada kawan seIslam yang lain telah dilunaskan dengan sebuah ikatan perkahwinan pada Januari 1959. Majlis perkahwinan mereka hanya diadakan secara sederhana di Adelaide, Australia. Hasil perkahwinan beliau dengan Allahyarham Puan Sri Laila Chalecki Taib telah dikurniakan dengan 4 orang cahayamata , 2 lelaki dan 2 perempuan. Setelah isteri pertama yang dicintai beliau meninggal dunia pada tahun 2009 kerana sakit kanser, beliau kemudiannya telah berkahwin buat kali kedua dengan Puan Sri Raghad Kurdi Taib, seorang wanita berketurunan Arab dan berasal daripada Lubnan. Diceritakan juga bahawa isteri kedua beliau sememangnya sudah lama dikenali memandangkan sebagai seorang pemimpin sebuah negeri bernama Sarawak sudah tentu mempunyai ramai kenalan keluarga di luar negara. Akhirnya setelah persetujuan dicapai, pada Disember 2010, perkahwinan Pehin Sri Abdul Taib dan Puan Sri Raghad Kurdi Taib telah dilangsungkan secara tertutup di Kuching, Sarawak dan seterusnya majlis resepsi perkahwinan diadakan di Dewan Undangan Negeri Sarawak dan dihadiri oleh ramai pemimpin-pemimpin di Malaysia pada masa itu. 

Setelah lama mengembara di luar negara mencari pengalaman dan meluaskan pandangan, akhirnya beliau telah kembali ke tanahair, Sarawak Bumi Kenyalang dan atas pengalaman bekerja beliau ketika berkhidmat di Kerajaan Negara Australia, beliau telah ditawarkan untuk bekerja sebagai Crown Council pada tahun 1962 hingga 1963. Selepas Sarawak merdeka daripada jajahan Koloni British pada 22 Julai 1963, Pehin Sri Abdul Taib telah ditawarkan untuk menjadi Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri Sarawak. Pada masa inilah Pehin Sri Abdul Taib telah dipilih untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri Sarawak sehinggalah pada tahun 1966. Setahun kemudian beliau telah ditukar untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan dan Perhutanan Negeri Sarawak. Dengan pengalaman beliau sebagai Menteri di Sarawak pada ketika itu, pada tahun 1968, beliau telah dinaikkan pangkat untuk menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia pada tahun 1968 hingga 1970. 

Pada tahun 1970, Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud telah memenangi kerusi Parlimen Kota Samarahan di dalam pilihanraya Parlimen 1970. Sekali lagi beliau telah diamanahkan oleh kepimpinan Malaysia untuk memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1970 hingga 1972. Kemudian pada tahun 1972 hingga 1974, beliau telah menjawat sebagai Menteri di Kementerian Sumber Asli, Pada tahun 1975, Pehin Sri sekali lagi bertukar portfolio kementerian apabila beliau diamanahkan untuk menjadi Menteri Penerangan dan Fungsi Khas dan seterusnya pada tahun 1978, beliau menjadi Menteri di Kementerian Perusahaan Utama Malaysia dan selepas itu sebagai Menteri di Kementerian Pertahanan Malaysia. Pada tahun 1981, Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud telah bertanding di dalam satu pilihanraya kecil iaitu Dun Sebandi dan telah mendapat mandat daripada rakyat di Dun Sebandi untuk mewakili mereka. Selepas memenangi pilihanraya kecil Sebandi (sekarang Asajaya) pada tahun 1981 itu, beliau telah dilantik sebagai Menteri Tanah dan Perlombongan Negeri Sarawak sebelum mengambil tempat ayah saudaranya, Tun Abdul Rahman bin Yaakub sebagai Ketua Menteri Sarawak. Beliau mempertahankan kerusi Sebandi sehingga 1987 sebelum dipilih sebagai ADUN di kawasan Asajaya. Kerana keinginan beliau untuk memajukan kawasan Balingian iaitu kawasan yang terlalu dekat dengan keluarga sebelah ibunya, maka pada pilihanraya 2001, beliau telah bertanding di kawasan Balingian dan beliau masih lagi sebagai ADUN Balingian sehinggalah sekarang. Sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-4, Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud masih lagi memegang portfolio sebagai sebagai Menteri Kewangan Negeri Sarawak dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Negeri Sarawak.

Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud walaupun sibuk dengan tanggungjawabnya sebagai pemimpin utama di Negeri Sarawak namun beliau juga mempunyai bakat di dalam bidang penulisan. Malah bakat penulisan beliau telahpun dicungkil sejak beliau bertugas di luar negara lagi. Bidang penulisan beliau lebih kepada penulisan yang mengarah kepada kemajuan Islam. Antara buku-buku yang pernah dihasilkan beliau adalah "Nabi Muhammad dan Misinya”, “Islam dan Kegunaan Umat Manusia", "Kebebasan dalam pemikiran Islam", dan "Strategi yang sesuai untuk pembangunan negara semasa menghadapi kekurangan sumber". Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud juga dikatakan antara pemimpin yang sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat dan dikatakan walau sesibuk mana tugas beliau, beliau tidak pernah lupa untuk membuat larian senaman ringan di kawasan rumahnya di Kuching. 

Inilah paparan ringkas tentang Ketua Menteri Sarawak Yang Ke-4 – Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud yang merupakan Ketua Menteri Sarawak yang telah memegang jawatan hampir 33 tahun lamanya dan beliau telahpun sahih untuk mengundur diri daripada dunia politik Sarawak. Dikatakan pada hari Isnin ini 10hb Februari 2014, Pehin Sri akan memberikan nama bakal pengganti beliau. ADAKAH NAMA-NAMA PEMIMPIN SEPERTI YANG DILAMPIRKAN DI DALAM POSTING INI MERUPAKAN BAKAL PENGGANTI BELIAU ATAU MUNGKIN INDIVIDU YANG KITA TIDAK PERNAH TERFIKIR SELAMA INI? HANYA PEHIN SRI DAN ALLAH SWT SAHAJA YANG MENGETAHUINYA. Walau apa jua jawapannya kelak untuk Borneo Oracle hanya ingin mengucapkan TERIMAKASIH PEHIN SRI ABDUL TAIB BIN MAHMUD. JASAMU AKAN DIKENANG SEBAGAI ANAK SARAWAK YANG BERJIWA SARAWAK. SUDAH MENJADI LUMRAH SETIAP PERMULAAN MESTI ADA PENGHUJUNGNYA DAN BEGITU JUGA PEMIMPIN KITA..PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI. DIHARAP PENGGANTINYA NANTI AKAN JUGA SENTIASA MENDAULATKAN SARAWAK DENGAN TIDAK MEMBENARKAN MANA-MANA YANG BUKAN BANGSA SARAWAK MENCAMPURI URUSAN POLITIK SARAWAK BUMI KENYALANG. 

Untuk kesekian kalinya Borneo Oracle amat berharap agar pembaca Borneo Oracle sekalian tidak kira apa jua ideologi politik untuk sentiasa menjaga tatasusila sepanjang berkomen kerana sesungguhnya setiap pengucapan yang dilontarkan kita merupakan bayangan diri kita yang sebenarnya. 

SARAWAK FOR SARAWAKIAN WE MUST! 

Terima Kasih Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud. 

Borneo Oracle  Sarawakain
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts

Arkib Blog