Mereka menulis menerusi amalan, Saya menulis melalui perkataan

Ahad, 13 April 2014

Amerika Nafi MH370 Mendarat di Diego Garcia?


Amerika Syarikat (AS) menafikan pesawat Malaysia Airlines MH370 mendarat di pangkalan tentera mereka di lokasi terpencil di Diego Garcia, lapor akhbar Britain Daily Mirror.
Akhbar berkenaan melaporkan, jurucakap kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan perkara itu di sebalik khabar angin dan spekulasi mengatakan pesawat dengan 239 penumpang dan anak kapal mendarat di sana.
“Tiada petunjuk mengatakan pesawat MH370 terbang berhampiran Maldives mahupun Diego Garcia.
“MH370 tidak mendarat di Diego Garcia,” katanya dipetik laporan akhbar.
Beliau turut berkata, dalam usaha sama koordinasi misi carian pesawat yang hilang pada 8 Mac lalu, tentera laut AS kini bekerjasama dengan Malaysia dan Australia, bersama 26 lagi negara.
Lokasi Diego Garcia sekitar 3,500 kilometer dari Malaysia.
Hari ini masuk hari ke-36 misi mencari pesawat berkenaan di Lautan Hindi, tumpuan kini bagi pengerahan Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat Bluefin 21 kerana dikhuatiri bateri kotak hitam kehabisan berikutan tiada isyarat dikesan pasukan mencari bagi tempoh 24 jam lepas.
Dua isyarat getaran akustik dikesan Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield, manakala satu isyarat dikesan pesawat Australia AP-3C Orion pada Khamis disahkan tidak ada kaitan dengan alat pengesan isyarat pesawat di bawah permukaan air.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata bagi misi mencari pada Sabtu, Ocean Shield terus menumpukan usaha untuk mengesan isyarat daripada kotak hitam pesawat dengan menggunakan alat pengesan pinger ditunda.
Menurutnya, AP-3C Orion turut meneruskan misi pencarian akustik, bersama-sama Ocean Shield dan kapal oseanografi HMS Echo.
“Tiada sebarang pengesanan akustik disahkan dalam tempoh 24 jam lepas,” menurut JACC dalam kenyataan hari ini.
JACC berkata sembilan pesawat tentera, sebuah pesawat awam dan 14 kapal terbabit dalam misi mencari MH370 di Lautan Hindi pada Sabtu, melibatkan kawasan seluas kira-kira 41,393 kilometer persegi.
Kawasan pencarian bertumpu di sekitar kira-kira 2,331 kilometer barat laut Perth, katanya.
Rabu lepas, Ketua Penyelaras JACC, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata Kenderaan Dalam Air Automatik akan dikerahkan sebaik sahaja tiada isyarat dikesan.
Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.
Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China, Haixun 01, pada 4 dan 5 April manakala Ocean Shield mengesan empat isyarat pada 5 dan 8 April.
Kotak hitam merekodkan data kokpit dan mungkin memberikan jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370.

Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Random Posts