Ketika Lurah Bilut mula diteroka untuk dijadikan tanah rancangan Felda, tidak
siapa menyangka bahawa syarikat yang ditubuhkan kerajaan itu bakal menjadi
sebuah syarikat perladangan yang terbesar dan terkemuka di dunia.
Dan ketika komuniti kecil
warga Felda Lurah Bilut mula berjasa pada bumi bertuah ini, tidak siapa
menyangka bahawa program kerajaan untuk rakyat tersebut mampu mengubah nasib
kehidupan mereka sehingga mampu memiliki ladang di Indonesia.
Dengan lahirnya Felda Global
Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH), nama Felda kini berada di negara termaju
dunia, Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan, negara-negara di Benua Eropah
serta Asia Barat seperti Turki dan sebagainya.
Tidak pernah termimpi untuk para peneroka di Lurah Bilut
tentang syarikat yang mereka usahakan itu akan menjalinkan kerjasama dengan
pelbagai syarikat multi-nasional antarabangsa terkemuka dan berstatus
multi-bilion seperti Bunge Limited, Procter & Gamble, Behn Meyer & Co,
Taiko Clay Chemicals dan banyak lagi.
Bunge adalah sebuah firma pengeluar produk pertanian
terbesar di Benua Eropah yang berpengkalan di New York dan mempunyai kepakaran
teknologi yang tinggi serta pasaran yang luas di Amerika Syarikat, Kanada,
Mexico, negara-negara Asia Pacific, Afrika, Timur Tengah dan kepulauan
Caribbean.
Menurut sumber yang diperoleh, FGVH kini memiliki sebuah
loji memerah dan menapis minyak canola dan soya di Becancour, Kanada.
Usahasama FGVH dengan Bunge
diramal akan memantapkan lagi harga dan nilai pasaran saham syarikat
perladangan negara itu yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada Mac atau
April ini.
Procter & Gamble (P&G) pula merupakan sebuah
syarikat antarabangsa terkenal yang menjalinkan kerjasama berkaitan produk
oleokimia, khususnya membabitkan mengenai penyelidikan bio-diesel yang kini
berjalan lancar di Cincinnati, Amerika Syarikat.
Bayangkan sekiranya FGVH dan P&G menghasilkan produk
bahan api diesel yang bakal menggantikan bahan bakar diesel sedia ada yang kian
mahal harganya di pasaran, pastinya ia akan membuahkan hasil yang paling
berbaloi.
Behn Meyer & Co. pula merupakan sebuah syarikat
terkemuka di peringkat dunia yang menjalinkan kerjasama dengan FGVH berkaitan
produk pertanian, khususnya baja pelbagai nutrien, di rantau Asia Tenggara dan
Eropah.
Itu semua adalah beberapa nama-nama besar syarikat
yang memainkan peranan penting di dalam dunia perniagaan di peringkat
antarabangsa yang dilihat mampu melonjakkan keuntungan FGVH pada masa ini.
Ada banyak lagi usahasama dengan syarikat-syarikat besar
dan FGVH bijak memilih rakan kongsi strategiknya memandangkan aset perladangan
terbesar negara itu dibantu oleh pakar-pakar runding perniagaan dari dalam dan
luar negara.
Untuk menjamin penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia itu
memberi kelebihan terhadap peneroka Felda yang terbabit syarikat itu telah
melantik tiga bank asing dan dua bank tempatan untuk mengendalikan proses
tersebut.
Bank-bank asing tersebut ialah Morgan Stanley, JP Morgan
dan Deutsche Bank, manakala bagi bank tempatan pula Felda diwakili oleh Maybank
Berhad dan CIMB.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya FGVH menegaskan bahawa
syarikat itu mampu dan komited untuk menjanjikan pulangan yang baik serta
sangat berbaloi kepada Felda pada setiap tahun.
Mengukuhkan lagi jaminan bagi
kepentingan Felda dan para peneroka, Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib
Tun Razak telah menjamin bahawa mereka akan tetap terus mendapat apa saja
kemudahan serta kelebihan yang mereka terima sebelum ini.
Dengan segala sokongan dari pihak pengurusan tertinggi
Felda, FGVH, para peneroka dan kerajaan, segala ‘durian runtuh’ yang
membabitkan penyenaraian di Bursa Malaysia itu bakal dinikmati bersama dalam
ertikata “win-win
situation”.
Terbaru, Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai oleh Menteri
Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob juga turut menyatakan komitmen mereka untuk
turun padang bagi memperjelaskan kepada seluruh warga peneroka di seluruh
negeri itu mengenai penyenaraian FGVH tersebut.
“Dua siri penerangan melibatkan peneroka di beberapa buah
tanah rancangan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan apabila mereka mula
menyedari rasional penyenaraian FGVH.
“Selepas mendapatkan penerangan sebenar, mereka tidak lagi
terkeliru dengan dakwaan pembangkang yang mendakwa kononnya aset serta tanah
peneroka akan hilang jika syarikat Felda itu disenaraikan kerana tanah terbabit
dijadikan cagaran,” kata Menteri Besar Pahang itu baru-baru ini.
Lihatlah, meskipun dianggap ‘orang luar’ yang tiada
kepentingan di dalam Felda pun sudah sanggup menerangkan tentang ‘durian
runtuh’ yang bakal diperoleh para peneroka, sudah tentulah penyenaraian itu
bakal memberikan Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang terbaik buat semua warga
Felda.
Khabarnya, warga pelabur pula tidak sabar menantikan
penyeneraian Felda itu kerana ia adalah yang terbesar dan terbaik untuk tahun
ini.
Sewajarnya selepas mendapat penjelasan yang membetulkan
persepsi buruk yang ditohmah segelintir pihak, warga peneroka akan ‘lekas
celik’ dan positif, serta memberikan sokongan padu kepada agenda yang bakal
membuahkan hasil yang lumayan itu.
Hakikatnya, itulah Felda kini dan
masa depannya yang lebih gemilang.
Bermula dari Lurah Bilut, kini Felda mengembangkan sayapnya
di merata pelosok dunia dan megah bangga membawa nama Malaysia sebagai syarikat
perladang yang bukan calang-calang reputasinya.
Bagaimanapun, segala ‘kemanisan’ yang dilihat mampu
melonjakkan nama Felda di persada dunia itu tidak mungkin dapat dikecapi
sekiranya tidak wujud kerjasama dari semua pihak, khususnya dedikasi dan
sokongan padu dari kakitangan Felda sendiri.
Justeru, adalah wajar bagi semua
pihak yang terbabit menjayakan transformasi Felda ini untuk sikap yang lebih
positif dan berazam memberikan sokongan tidak berbelah bagi mendatangkan
keuntungan kepada seluruh warga syarikat perladangan terbesar bertaraf dunia
itu.
Sayanglah jika peluang keemasan ini dipersiakan hanya
kerana segelintir minoriti yang cemburu dengan kejayaan Felda itu!